21 March 2008

TAUTAN HATI

Tautan Hati
Pengarang :Fatimah Syarha Mohd. Noordin
Terbitan :Telaga Biru Sdn. Bhd.
Harga:RM 29.90 (Semenanjung);
Ketebalan :785 mukasurat

Asiah Yusra , namanya seindah peribadinya. Dirinya begitu istimewa terutama di kalangan rakan-rakannya yang begitu memerlukan madu dakwah untuk disajikan sebagai manisan kehidupan mereka.

Pelbagai langkah dakwah yang diatur pada awalnya sentiasa dilanggar badai yang sengaja dihembus iblis sebagai penghalang usaha murninya. Namun, halangan-halangan tersebut dipandang Asiah Yusra hanyalah cabaran kecil yang telah ditentukan Allah s.w.t. sebagai bukti betapa Allah s.w.t. mengurniakan cabaran tersebut hanya kepada hamba-Nya yang dikasihi.

Berputus asa seakan-akan tidak wujud dalam kamus hidupnya. Begitulah tingginya tahap keimanan serta kecekalan gadis dari Taman Islam ini. Lagaknya seakan-akan pahlawan silam terunggul Solahuddin Al-Ayyubi. Imtisal, Hana, Laiyyinul Harir, Muslimah (Christine), Wildan dan Aisya Bazella ditaklukinya dengan senjata halaqoh beserta keikhlsan yang menggunung dengan harapan sahabat-sahabatnya itu dapat bergerak seiring dengannya ke jalan yang diredhai.

Setiap dari mereka mempunyai masalah yang tersendiri. Imtisal dengan tragedi keluarga yang tak berkesudahan, Hana pula merupakan mangsa keadaan apabila dijodohkan dengan pemuda yang bukan menjadi pilihan hatinya manakala Layyinul Harrir pula hanyut dalam arus percintaan sesama insan yang tidak menjanjikan sebarang kebaikan yang hakiki.

Wildan (adik Imtisal) pula merupakan anak gadis yang sering memberontak dek kerana latar belakang keluarganya yang porak peranda manakala Muslimah (Christine) dengan pegangan Kristian yang menebal dan sentiasa menyampaikan ajaran pegangannya dengan cara yang tersendiri. Aisya Bazella pula anak gadis kota yang pengisian hidupnya hanyalah dipenuhi dengan maksiat dan akhirnya terkulai layu di pangkuan haiwan jantan bertopengkan manusia.

Ketika gigih menyebarkan dakwah, Asiah Yusra yang sentiasa mendapat sumber inspirasi dari sahabat sejatinya Elya Khadeeja, didatangi satu lagi cabaran duniawi apabila dirinya mendapat perhatian Umar al-Mujahid dan al-Banna, dua pemuda soleh yang juga berasal dari Taman Islam.

Adakah usaha tarbiahnya akan berhasil? Bagaimanakah kesudahan hidupnya? Siapakah yang telah ditentukan Illahi untuk menjadi pasangan hidup Asiah Yusra? Al-Banna atau Umar al-Mujahid? Segalanya pasti terjawab sekiranya anda membaca novel sulung keluaran Telaga Biru Sdn. Bhd. berjudul Tautan hati.

No comments:

Related Posts with Thumbnails